Bahagian II : Hanya Untuk Umat Muhammad
Sunday, September 5, 2010 | 9:42 AM | 0 comments
Allah s.w.t telah mengkhususkan satu surah dalam al-Quran bagi menerangkan berkenaan lailatulqadar ini. Dalam kitab al-Dur al-Manthur, melalui sumber Anas r.a, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa malam al-Qadar ini hanya diberikan oelah Allah s.w.t kepada umat Baginda sahaja. Alangkah besarnya nikmat ini dan alangkah tingginya ihsan Allah kepada umat ini!
Rasulullah s.a.w juga menyatakan bahawa kemuncak kepada kemuliaan yang akan diperoleh seseorang hamba yang tekun beribadah pada malam al-Qadar ini adalah mendapat keampunan total terhadap segala dosa yang menyebabkan seseorang itu menjadi bersih sebersihnya.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud :
''Sesiapa yang mendirikan ibadat pada malam al-Qadar (lailatulqadar) dengan penuh keimanan dan ihtisab (yakni ikhlas mengharapkan ganjaran daripada Allah), diampunkan segala dosanya yang terdahulu.'' (Rirayat al-Bukhari dan Muslim)
Amatlah malang jika kita yang diizinkan bertemu dengan tetamu Ramadhan yang penuh berkat ini hanya membiarkan lailatulqadar berlalu tanpa kita mendapatkan manfaat kerohaniaan yang berlimpah-ruah dan penuh keagungan ini. Satu kerugian yang tidak dapat dibayangkan!
Anas r.a berkata, ''Telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
''Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terhalang daripadanya maka terhalanglah dia daripada seluruh kebaikan dan tidaklah terhalang daripada kebaikan melainkan seseorang yang benar-benar rugi.'' (Riwayat Ibn Majah)
Labels: BLOG MENDAP.A.K.A.EQA, HIDUPSAYA