Hari Kekasih Umpan Musuh Jerat Kekasih
Saturday, February 12, 2011 | 3:29 PM | 0 comments
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka" (Al-Baqarah : 120)
Berdasarkan firman Allah s.w.t ini membuktikan musuh-musuh Islam sentiasa berusaha menyesatkan umat Islam hingga mereka menyimpang dari jalan kebenaran.
Pelbagai unsur yang merosakkan disogokkan khususnya hiburan dan sukan bagi melalaikan golongan remaja. Racun-racun hedonisme ditanam dan dibajai mereka terbelenggu dan menjadi hamba padanya.
Adakah kita tidak mempunyai tindakan penyelesaian?
Bagi membina kekuatan dalaman remaja Islam hari ini serta menghindarkan mereka daripada terus menerus terjebak dalam unsur kurang sihat seperti hari kekasih adalah dengan mengukuhkan keilmuan dan keimanan. Penjelasan berkenaan larangan menyambut hari kekasih perlulah diwar-warkan kepada seluruh umat Islam khususnya remaja agar mereka faham apa sebenarnya erti disebalik hari kekasih atau Hari Valentine.
Para remaja hendaklah didedahkan dengan ajaran-ajaran agama supaya pegangan iman mereka sentiasa teguh dan tidak mudah goyah dengan gangguan manusia dan syaitan.
Keinginan remaja untuk mencuba sesuatu yang baru sememangnya tidak boleh dielakkan. Dan tidak dinafikan juga bahawa remaja juga mudah memberontak. Mereka masih muda dan tidak tahu arah tujuan sebenar hidup di alam sementara ini. Apa yang dikejar hanyalah keseronokan. Dan penulis tidak terkejut jika terdapat antara mereka yang memberikan pelbagai alasan demi membenarkan mereka menyambut perayaan ini.
Antara alasan yang lazim didengari dari remaja sekarang ialah menyambut Hari Kekasih secara tidak berlebihan, menyambutnya dengan hanya menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas atau menghadiahkan sekuntum bunga sebagai tanda cinta.
Mengapa ia tidak dilakukan pada hari-hari biasa?
Selain itu, bukan besar atau kecil hadiah yang menjadi persoalan. Pokok pangkalnya adalah niat. Menurut sumber sejarah, Valentine Day ini telah menjadi acara keagamaan buat penganut Kristian.
Apakah kita sebagai umat Islam ingin tergolong dalam golongan penganut kristian?
Di dalam surah Ali Imram ayat 31 telah menyebut :
"Katakanlah (Wahai Muhammad jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui."
Ayat di atas bermaksud setiap kasih dan sayang yang ditetapkan oleh Islam tidak seharusnya disalahgunakan bagi memenuhi kehendak peribadi sesuatu pihak. Ia perlulah digunakan dalam suasana yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan boleh diterima pakai oleh masyarakat umum.
Oleh sebab itu, pengetahuan merupakan perkara yang penting dalam hidup supaya kita tidak mudah ditipu dan dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang boleh membinasakan diri kita. Jika ceteknya pengetahuan, maka benteng keimanan seseorang Muslim itu mudah rapuh sekali gus akan hilanglah jati diri dalam kalangan remaja Muslim.
Peranan Pihak Terlibat
Pergaulan yang mesra dan lemah lembut sesama ahli keluarga merupakan faktor yang boleh menyemai semangat kekeluargaan. Lakukanlah aktiviti secara bersama, Insya-Allah anak-anak muda ini pasti memahami bahawa kasih dan sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian sahaja, malah lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat sama-sama menuju ke jalan yang diredhai.
Selain itu, pihak media juga hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membetulkan semula fahaman remaja tentang hari kekasih. Ini kerana, media merupakan satu medium penyebar infomasi yang paling berpengaruhi oleh segenap lapisan penduduk.
Oleh itu, kesemua pihak yang terlibat hendaklah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak menyambut Valentine Day. Tambahan itu, isikanlah hati mereka dengan ilmu-ilmu akidah dan akhlak supaya mereka dapat menjaga benteng keimanan dari menjatuhkan maruah mereka sebagai remaja Muslim.
Labels: BLOG MENDAP.A.K.A.EQA, RENUNGAN, VALENTINE DAY