Maulidur Rasul tahun 1432H / 2011M
Monday, February 14, 2011 | 12:24 PM | 0 comments
Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad yang jatuh pada hari ke-12 bulan RabiulAwal iaitu pada hari Isnin 12 RabiulAwal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571.
Oleh itu, sambutan memperingati Maulidur Rasul bukanlah suatu perkara yang asing di dalam masyarakat kita. Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya untuk memperingatinya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Semperna perayaan Sambutan Maulidur Rasul pada tahun 1432 H / 2011 M ini, saya ingin mengajak semua umat Islam untuk mengingati dan menghayati sirah baginda dan seterusnya mengikuti serta mentaati segala ajaran yang telah dibawakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita.
Ini lebih baik daripada menyambut hari kekasih yang tidak memberi apa-apa manfaat pun malah tidak dituntut dalam ajaran Islam, kalau nak dibandingkan dengan berselawat kepada kekasih kita (Rasulullah) yang satu, yang dapat memberi kita syafaat di akhirat kelak, sebagaimana janji Rasulullah yang pernah bersabda :
"Orang yang paling utama bagiku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat untukku. Barangsiapa yang membaca selawat 100 kali untukku pada hari Jumaat, kelak pada hari kiamat dia datang dengan wajah bersinar-sinar. Sekiranya sinar itu dibahagi-bahagikan kepada semua makhluk, nescaya mencukupi."
Jelas lagi terang dan nyata kita tahu akan kelebihan berselawat kepada baginda, begitu sayangnya baginda kepada kita, begitu kasih dan cinta nya baginda kepada kita tetapi sebesar manakah cinta kita kepada Rasulullah? Adakah kita begitu kasih dan cintanya kepada baginda seperti kita mengasihi pasangan kita? Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku." (Riwayat al-Baihaqi).
Maka marilah kita bersama-sama mengimarahkan lagi suasana Maulidur Rasul ini dengan memperbanyakkan berselawat kepada baginda, bukan hanya pada hari tersebut sahaja tetapi setiap masa kerana Rasulullah pernah bersabda :
"Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali." (Riwayat Muslim).
Dan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku." (Riwayat al-Baihaqi).
Allah s.w.t juga telah berfirman :
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Oleh itu, sebagai tanda kita mengimani dan mencintai Rasulullah s.a.w ada beberapa perkara boleh dijadikan pegangan kita:
Beradap dengan Rasulullah s.a.w
Firman Allah Taala bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasul-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah a-Hujuraat: ayat 1).
Firman Allah Taala bermaksud:
"Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah SAW) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu." (Surah an-Nur: ayat 63).
Mentaati Rasulullah s.a.w
Firman Allah Taala bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah SAW) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu." (Surah Muhammad: Ayat 33).
Firman Allah Taala bermaksud:
"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya." (Surah al-Hasyr: ayat 7).
Firman Allah Taala bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir." (Surah ali-Imran: ayat 32).
Mengasihi Rasulullah s.a.w
Firman Allah Taala bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (Surah ali-Imran: ayat 31).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasul-Nya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w
Firman Allah Taala bermaksud:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab: ayat 21).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasul-Nya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah).
Oleh itu, bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah s.a.w sepenuh jiwa adalah dengan mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.
Labels: BLOG MENDAP.A.K.A.EQA, DIARY, MAULIDUR RASUL 1432H/2011M, RENUNGAN