Munasabah Cintamu.
Tuesday, February 7, 2012 | 7:27 PM | 0 comments
Tangisan Kerana Cinta
Berapa ramai antara kita bersedih dan menangis ketika kita makin jauh dari ibu dan ayah, menangis ketika anak-anak makin jauh dari kita, menangis ketika meninggalkan keluarga kita, menangis ketika kehilangan sesuatu barang yang dicintai, menangis ketika wang ringgit kita makin berkurang, ketika harta dan perniagaan makin merugi, bahkan banyak lagi kepentingan dalam kehidupan kita yang kita menangis tatkala ia makin menjauh.
"Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan." - [QS Al-Fajr, 89:20]
Namun, pernah tidak kita menangis kerana kehilangan cinta Allah, menangis ketika mengingati Allah, menangis ketika membaca ayat-Nya, menangis ketika makin menjauh dari Allah, menangis ketika bermaksiat dihadapan Allah, menangis ketika tidak mampu berkorban untuk Allah dan menangis kerana merindui Allah?
Tidakkah kita merasa hina kerana lebih sanggup menangisi sesuatu keadaan atau perkara, namun bila mengenai Allah kita tidak mampu menangis? Adakah cinta kita kepada yang selain dari Allah melebihi dari tahap cinta yang digariskan Allah?
Cukuplah mencintai sesuatu yang lain melebihi cinta kita kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Sedarlah cinta kita milik siapa yang paling utama. Bukan kepentingan kita, keluarga kita, kerjaya kita, kenderaan kita, rumah kita, masa rehat kita, tenaga kita dan harta kita, lebih kita pentingkan sehingga mengorbankan kepentingan cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Kita wajib berkorban demi kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad, bukan mengorbankan kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad untuk kepentingan yang lainnya. Berkorbanlah demi cinta-Nya. Tangisan cinta yang paling utama milik Allah, usahakan tangisan kerana Allah lebih kita utamakan berbanding tangisan kerana ciptaan-Nya.
Kebahagian dan Ketenangan Cinta
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." - [QS Ar-Ra'd, 13:28]
Inilah kebahagian dan ketenangan yang sepatutnya, jangan sampai hati kita lebih tenang ketika mengingat selain dari Allah.
Ramai antara kita lebih bahagia dan tenang ketika mengingati keluarga, harta kekayaan, kerjaya, pujian dan sanjungan manusia.
Takutlah hati itu sudah dikotori, sudah dinodai dengan kebahagian lain yang tidak hakiki, yang pada pandangan manusia dan dunia pasti membahagiakan, namun pandangan Allah itu lebih utama.
Kebahagian dan ketenangan sebenar hanya akan hadir bila kita mendekati Allah.
Kepekaan hati kita mungkin sudah makin cair ditelan arus keduniaan. Kekadang dosa yang dilakukan dianggap hanya seperti lalat yang singgah dan mampu hilang hanya dengan dikuis begitu sahaja, sedangkan kita seharusnya menganggap dosa dan maksiat itu laksana gunung yang bakal menghempap kita ketika melakukannya, laksana gunung berapi yang bakal membakar kita.
Inilah kepekaan hati yang perlu kita asah bersama, hatta dosa kecil itu lebih kita takuti.
Jangan turuti hawa nafsu yang mengundang kepada dosa dan maksiat, yang mengundang kepada futurnya cinta utama dan yang akhirnya menumpulkan hati kita.
Setelah bersama menghayati rindu dan tangisan kerana kecintaan. Mari tepuk dada, tanya iman. Siapa sebenarnya cinta paling utama?
Apa yang paling kita rindu bila kehilangannya?
Ke mana tangisan kita sering dicucurkan?
Inilah indikasi cinta kita milik siapa.
Ke mana tangisan kita sering dicucurkan?
Inilah indikasi cinta kita milik siapa.
Ayuh ikhwah dan akhwat sekalian, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan.
Tanamlah azam dan kesungguhan kearah yang lebih baik dan sentiasalah tingkatkan ia.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan usahakan esok hari agar lebih baik dari hari ini.
Mari muhasabah cinta kita bersama, letakkan kepentingan cinta yang lebih utama, nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita perlu dicintai, tapi yang perlu dicintai adalah cinta kita kepada Pemberi Nikmat yang lebih utama.
Muhasabah Cintamu.
credit to iluvislam
Labels: BLOG MENDAP.A.K.A.EQA, RENUNGAN